Sejarah PPHM

Sejarah Pengasas

Presiden Pertama PPHM, yang juga pengasas perubatan Homeopathy di Malaysia ialah Prof. Dr. Burhanuddin al-Helmi. Beliau adalah seorang tokoh yang amat besar jasanya kepada tanah air. 

Prof. Dr. Burhanuddin al-Helmi dilahirkan pada 29 Ogos 1911 di Kampong Changkat Tualang, Kota Bharu, Perak, Beliau merupakan seorang pelajar yang pintar. Ayahnya seorang ahli sufi, manakala ibunya berasal dari keluarga ternama. Pendidikan Prof. Dr. Burhanuddin dalam bidang agama adalah cemerlang. Beliau mendalami ilmu agama di Sungai Jambu Sumatera, kemudian menyambung pengajian di sebuah pondok di Jitra, Kedah dan seterusnya di Masdrasah Al-Mashor Al-Islamiyaah, Kepala Batas, Pulau Pinang.

Pada tahun1928, Prof. Dr. Burhanuddin melanjutkan pelajaran ke Ismaeliah Medical College, New Delhi dalam bidang perubatan Homeopathy. Beliau boleh menguasai Bahasa Inggeris, Jerman, Belanda dan Peranchis dengan amat baik sekali. Setelah pulang ke tanahair, beliau mengembangkan ilmu perubatan homeopathy kepada mereka yang berminat di merata-rata tempat termasuk Singapura, Kuala Lumpur, dan Taiping.

Pada tahun 1954, beliau telah melahirkan pusat pengajian homeopathy yang pertama secara informal di rumah beliau sendiri di Kampung Pachitan, Singapura. Antara 12 orang pemuda perintis yang mengikuti kuliah beliau itu ialah Prof. Dr. Mohd Nor Noordin, Dr. Hj Dali bin Hj Muin, Dr. Mohammed b Hj Yaakub, dan Dr. Abd Rahman Haji Hashim.

Pada 2 Januari 1961, persatuan homeopathy yang pertama telah didaftarkan dengan nama Persatuan Homeopathy Malaya (Homoeopathic Society of Malaya) dengan memegang nombor pendaftaran 1607. Presiden Pertama ialah Prof. Dr. Burhanuddin sendiri, Setiausaha Agungnya ialah Dr. Mohammad bin Hanif dan Bendahari Agung ialah Dr. Yaakob Ibrahim. Ahli jawatankuasa ialah Dr. Rahmat Ma’dom, Dr. Rashad Shamsuddin, Dr. Abd Rahman Hashim, Dr. Bahrom Shah dan Dr. Ismail b Muhammad. Ibupejabat persatuan pada waktu itu ialah di 38-B Jalan Hale (Raja Abdullah), Kuala Lumpur. Persatuan ini kemudian mengubah namanya kepada Persatuan Perubatan Homeopathy Malaysia (The Homeopathic Medical Association of Malaysia) atau ringkasnya PPHM pada tahun 1979.

Prof Dr. Burhanuddin Helmi telah kembali ke rahmatullah pada 25 Oktober 1969. Jasa beliau kepada masyarakat, khusunya orang Melayu, Islam, politik tanahair dan sebagai pengasas perubatan Homeopathy di Malaysia tidak dapat disangkal lagi. Misi beliau mengembangkan perubatan homeopathy kemudian disambung oleh anak-anak didiknya hingga hari ini.

 

Sejarah PPHM

Setelah kembalinya Prof. Dr. Burhanuddin Helmi ke rahmatullah pada tahun 1969, kepimpinan persatuan ini diberikan kepada timbalannya iaitu Prof. Dr. Mohd Nor Noordin. Pergerakan persatuan ini menjadi amat aktif apabila terdapat ramai peminat dan penyokong homeopathy yang sentiasa mahukan aktiviti-aktiviti persatuan ini diadakan.

Di bawah kepimpinan Dr. Mohd Noor, PPHM giat menganjurkan ceramah, seminar dan memberi kuliah di pusat-pusat rawatan homeopathy di seluruh negara. Ketika itu pusat rawatan homeopathy telahpun berkembang di Kuala Terenganu, Guar Chempedak (Kedah), Parit Buntar, Krian (Perak), Muar (Johor), Jasin (Melaka), Sungai Besar, Kelang, Sekincan (Selangor) dan Kota Bharu (Kelantan).

Pada tahun 1980-an, persatuan ini telah mula mendapat sokongan dari pelbagai lapisan masyarakat dan banyak seminar-seminar dinaungi oleh tokoh-tokoh politik. Dengan pertolongan pengamal-pengamal seperti Dr. Dali, Dr. Abd Ghani, Dr. Nik Omar, Dr. Teo, Dr. Ghulam Rasool dan ahli-ahli jawatankuasa PPHM 1970 - 1984, kursus-kursus homeopathy telah dapat dikembangkan dengan begitu pesat sekali.

Peningkatan Ilmu di PPHM telah dikembangkan lagi di bawah Majlis Akademi Homeopathy Malaysia (MAhM) yang bertanggung jawab dalam Pembangunan Keilmuan ahli-ahli PPHM. Pada 13 April 1998, satu kerjasama di antara MAhM dengan Fakultas Kedoktoran, Universitas Sumatera Utara (USU) Medan, Indonesia telah dicapai untuk melahirkan graduan-graduan yang memegang Sarjana & Ijazah Perubatan Homeopathy. Kejayaan kerjasama ini dibuat hasil kertaskerja Peningkatan Keilmuan dan Memartabatkan Kelulusan Pengamal Homeopathy di Malaysia yang telah dibentangkan oleh Dato' Dr. Haji Mohd Nordin Abdulrahman (Mantan Timbalan Presiden PPHM) pada Mesyuarat Agong Tahunan pada 20 Julai 1997.

Sehingga kini PPHM terus meningkatkan ilmu ahli-ahlinya dengan mengadakan seminar antarabangsa, dengan membawa penceramah-penceramah yang terkenal dari India, Pakistan, United Kingdom dan Australia.

Walaupun akhir-akhir ini satu demi satu persatuan homeopathy diwujudkan di Malaysia, namun PPHM tetap unggul dan meneruskan perjuangan pengasasnya untuk mengembangkan homeopathy.